Friday, September 11, 2020

Harga Membunuh Semangat Setiakawan

Apa yang telah terjadi kepada Parti Bersatu pimpinan Muhyiddin Yassin sekarang? Boleh dikatakan Bersatu sekarang sudah dimakan dan dikunyah oleh Parti Umno sekarang – suatu parti yang pandai berpura-pura memainkan sentimen agama dan bangsa di waktu susah untuk mendapat kawan dan menendang kawan apabila telah senang. Agaknya inilah harganya yang perlu dibayar oleh Muhyiddin Yassin apabila meninggalkan rakan-rakan mereka dahulu seperti DAP, PKR, dan Dr. Mahathir sendiri untuk membina kerajaan sementera Pakatan Nasional (PN).

Memang benar dan bukan lagi rahsia lagi apabila orang-orang Melayu berasa tertekan dan marah dengan sesetengah pemimpin Dap yang berada dalam kerajaan persekutuan ketika PH memerintah. Namun, ini bukanlah alasan bagi Bersatu untuk mengkhianati semangat setiakawan mereka dengan DAP khususnya setelah berjaya menumbangkan BN pada PRU-14 yang lalu.

Manakala Dr. Mahathir yang merupakan bekas Presiden Bersatu menubuhkan sebuah parti yang tiada hala tuju yang dikenali sebagai Pejuang melainkan ingin menaikkan boboinya iaitu Mukhriz untuk meningkat dalam arena politik Malaysia. Apa yang lebih mengeruhkan lagi keadaan ialah Parti Pejuang ini dikenali sebagai ‘Parti Pejuwang’ oleh Najib yang sedang kecewa disabitkan hukuman bersalah terhadap tuduhan rasuah sekarang.

Harga maruah orang-orang Bersatu ini hanyalah boleh diboo di majlis keramaian orang ramai. Sewaktu majlis pelancaran jentera BN ketika menghadapi PRK Slim River, wakil permuda Bersatu (Armada) telah diboo apabila Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menyebut parti itu sekarang berhasrat secara rasmi menyertai Muafakat Nasional, gabungan Umno dan PAS. Ditambah lagi pula Zahid Hamidi mengingatkan Bersatu supaya mereka boleh menarik 6,000 undi untuk BN walaupun akhirnya BN sendiri memengani kerusi pada PRK kali ini.

Tembelang Umno sudah nampak sekarang apabila parti cap rasuah ini ingin bertanding di semua kerusi yang pernah ditandingi oleh BN yang telah berpaling tadah. Jika Umno ingin mengambil semula mana-mana kerusi di mana ahlinya berpaling tadah, di kerusi manakah Bersatu ingin bertanding? Adakah ini bertanding di kerusi jenama Ikea sahaja? Jika tidak melakukan sesuatu dari sekarang, alamatnya Parti Bersatu akan terkubur sahaja selepas PRU-15 nanti.

Memang benar dan bukan auta lagi apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin sekarang berada dalam penerimaan rakyat Malaysia lebih-lebih lagi beliau berjaya menangani isu Covid-19 yang mengganggu kegiatan ekonomi Malaysia. Cara beliau bercakap secara langsung di kaca televisyen ketika negara dilanda krsisis Covid-19 berjaya menambat semua hati rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa.

Akan tetapi, adakah Perikatan Nasional akan melantiknya semula sebagai Perdana Menteri selepas PRU-15 nanti? Sudah tentu perkara ini tidak akan diizinkan oleh Umno kerana Umno sekarang mempunyai kerusi majoriti dalam kerajaan persekutuan sekarang dan kerusi Umno ini dijangka akan terus bertambah selepas PRU-15 selepas orang-orang Melayu sudah serik mengundi Parti Durjana DAP.

Umno tetap Umno. Ia akan mencari kawan ketika susah dan menendang kawan ketika senang. Mungkinkah Bersatu akan ditendang oleh Umno selepas PRU-15 nanti?

Wallhua’lam.

Tuesday, August 25, 2020

Projek Bernilai RM6.1 Bilion Tanpa Tender Terbuka Menunjukkan Ketelusan Kerajaan Pakatan Harapan (PH)


Semalam (24 Ogos 2020) parlimen (atau mungkin negara) telah digemparkan sekali lagi oleh Menteri Kewangan, Dato’ Sri Tengku Zafrul bin Tengku Abdul Aziz mendedahkan bahawa sebanyak 101 projek dengan nilai RM6.1 bilion telah diberikan tanpa rundingan terus! Ini salah satu menunjukkan bahawa kerajaan Pakatan Harapan suatu ketika dahulu tidak mengamalkan rasuah ataupun unsur-unsur lain seperti kronisme dan nepotisme. Walaupun Lim Guang Eng cuba menipu Dewan Rakyat bahawa parlimen sebenarnya perkara ini dibawa ke parlimen dahulu, namun dakwaan ini berjaya disangkal oleh Azmin Ali di parlimen.

Sekarang, rakyat tertunggu-tunggu dan menantikan siapakah para penerima habuan projek bernilai RM6.1 bilion ini? Semoga persoalan ini dapat dirungkai dalam masa terdekat oleh pihak kerajaan.

Memulangkan 4 Bulan Gaji Tidak Dapat Membersihkan Kesalahan Seorang Menteri


Adalah amat memalukan apabila seorang menteri tidak mematuhi SOP Covid-19 sewaktu undang-undang ini masih berkuatkuasa. Lebih-lebih lagi apabila menteri yang melakukan kesalahan ini adalah menteri dari Pas – sebuah parti yang berlandaskan perjuangan Islam.

Perkara ini terjadi apabila Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Khairuddin Aman Razali tidak mematuhi SOP Covid-19 apabila gagal untuk mengkuarantinkan dirinya apabila pulang dari Turki.

Perkara ini menjadi peluru padu kepada parti pembangkang khususnya Parti Dap yang setiap hari menyerang menteri ini. Apatah lagi individu yang mula-mula sekali mendedahkan perkara ini ialah ahli parlimen daripada Dap sendiri iaitu Teresa Kok. Dia (Teresa Kok) menyatakan bahawa Khairuddin pergi ke Turki pada 3 hingga 7 Julai 2020 tetapi tetap hadir ke parlimen pada 13 Julai 2020.

Biarpun telah memohon maaf kepada rakyat dan memulangkan 4 bulan gaji beliau sepanjang beliau menjadi menteri dan didenda sebanyak RM1,000 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana telah melanggar SOP Covid-19. Tindakan ini sebenarnya tidak dapat meredakan kemarahan orang ramai walaupun didenda RM1,000 sekalipun oleh KKM. Rakyat tidak mudah digula-gulakan oleh mainan politik pihak kerajaan. Hal yang sama berlaku kepada mak cik gelang pink kerana ingkar arahan SOP Covid-19 kerana dengan selambanya pergi ke kedai makan dan tidak mematuhi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian ketika diperintahkan kuarantin di rumah. Mak cik ini dikenakan denda RM8,000 dan penjara sehari.

Seolah-olah berlaku pendakwaan terpilih dalam kedua-dua kes ini. Khairuddin seelok-eloknya membersihkan namanya di mahkamah bagi menutup mulut amarah rakyat sekarang. Biarlah mahkamah yang menjatuhkan hukuman ke atas Khairuddin. Tidak kira urusan rasmi atau tidak rasmi apabila pulang dari luar negara kerana tiada undang-undang menyatakan perbezaan kedua-dua kes untuk urusan ke luar negara.

Sememangnya kes salah laku menteri ini menjadi bualan hangat rakyat. Para menteri khususnya mereka seharusnya berhati-hati dalam tindakan mereka ketika ini apatah lagi mereka semua sekarang dalam pemerhatian rakyat daripada pelbagai kaum dan agama. Kerajaan secara mudah menghukum rakyat yang tidak mematuhi SOP Covid-19 sedangkan para menteri seolah-olah tidak dikenakan hukuman atau dikenakan hukuman ringan sahaja. Kerajaan sepatutnya tidak bersikap double-standard dalam isu ini.

Wednesday, August 19, 2020

Ke Manakah Halatuju Parti Pejuang Tanah Air?

Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Itulah kata-kata yang tepat yang boleh ditujukan kepada Tun Dr. Mahathir Mohammad apabila Presiden parti lamanya iaitu Muhyiddin dikatakan mengkhianatinya apabila membawa Bersatu menyertai Perikatan Nasional (PN) bagi membentuk kerajaan baharu setelah PH digulingkan.

Tuah ayam nampak di kaki. Tuah manusia siapa yang tahu. Akhirnya kerusi Perdana Menteri Malaysia ke-8 jatuh kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin. Kasihan buat Anwar Ibrahim kerana tidak dapat menjadi Perdana Menteri ke-8 setelah sekian lama ingin menjadi Perdana Menteri. Tetapi tidak mengapa kerana Anwar Ibrahim masih memegang gelaran ‘bakal Perdana Menteri’.

Tun Dr. Mahathir mengambil risiko yang tinggi kerana mempertaruhkan jawatannya sebagai Perdana Menteri ketujuh apabila meletak jawatan pada awal tahun ini. Beliau mungkin berfikir beliau akan dilantik semula sebagai Perdana Menteri kelapan. Malangnya, percaturan beliau silap kerana pihak istana memilih Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kelapan.

Perasaan kecewa menyelubungi Tun Dr. Mahathir kerana Parti Bersatu yang ditubuhkannya itu akhirnya bekerjasama dengan parti Umno – Parti yang dibencinya sendiri kerana parti ini dianggap sebagai parti rasuah. Kini Parti Pejuang ditubuhkan bagi menentang kleptokrasi Umno.

Dalam meraih sokongan masyarakat majmuk di Malaysia, sokongan orang-orang Melayu adalah paling penting bagi menjamin survival sesebuah parti politik. Parti Pejuang adalah parti politik dan bukannya badan NGO atau mana-mana badan amal untuk meraih derma untuk membantu golongan bernasib baik. 

Survival sesebuah parti politik itu diukur dengan bilangan kerusi parlimen dalam sesebuah pilihanraya. 

Dalam keadaan masyarakat Melayu sudah lagi tidak percayakan lagi kepada PH kerana onar yang dibuatnya sewaktu memimpin kerajaan persekutuan kurang daripada 3 tahun, adakah Parti Pejuang masih ingin menjadi sekutu dengan PH atau lebih tepatnya masih ingin bersama dengan Dap? Jika keadaan ini berlaku, satu kerusi parlimen belum tentu dimenangi oleh Parti Pejuang ini.

Fitnah atau pembohongan mungkin orang tidak percaya. Akan tetapi, jika fitnah atau pembohongan ini dilaung-laungkan pada setiap hari, lama-kelamaan orang ramai akan percaya berita palsu ini dan menganggapnya ianya benar.

Perkara ini yang dimain-mainkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohammad sebelum PRU-14 dahulu. Beliau menghentam Mohd. Najib setiap hari yang kononnya Najib mencuri wang rakyat. Lama-kelamaan rakyat Malaysia percayakan beliau. Natijahnya, Najib kalah teruk dalam PRU-14 yang lepas. 

Sekarang, modal politik apakah yang ingin dibawa oleh Parti Pejuang sekarang? Adakah sekadar ingin menentang rasuah Umno kerana masyarakat sudah tahu seburuk-buruk Umno sekalipun sekurang-kurangnya kedudukan agama Islam dan hak keistimewaan orang Melayu tidak mudah dipertikaikan oleh mana-mana kaum bukan Melayu ketika BN memerintah sebelum PRU-14 dahulu.

Mungkin benar kata sesetengah orang. Biarlah orang-orang Umno yang berada di atas makan rasuah. Sekurang-kurangnya orang Cina tidak naik untuk memerintah Malaysia.

Saya fikir Parti Pejuang ini mungkin terkubur suatu hari nanti kerana orang sudah tidak mempercayai Tun Dr. Mahathir lagi. Mungkin parti ini akan terkubur bersama Tun Dr. Mahathir Mohammad nanti setelah beliau meninggal dunia kelak.

Wallhua’alam.