Tuesday, August 25, 2020

Memulangkan 4 Bulan Gaji Tidak Dapat Membersihkan Kesalahan Seorang Menteri


Adalah amat memalukan apabila seorang menteri tidak mematuhi SOP Covid-19 sewaktu undang-undang ini masih berkuatkuasa. Lebih-lebih lagi apabila menteri yang melakukan kesalahan ini adalah menteri dari Pas – sebuah parti yang berlandaskan perjuangan Islam.

Perkara ini terjadi apabila Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Khairuddin Aman Razali tidak mematuhi SOP Covid-19 apabila gagal untuk mengkuarantinkan dirinya apabila pulang dari Turki.

Perkara ini menjadi peluru padu kepada parti pembangkang khususnya Parti Dap yang setiap hari menyerang menteri ini. Apatah lagi individu yang mula-mula sekali mendedahkan perkara ini ialah ahli parlimen daripada Dap sendiri iaitu Teresa Kok. Dia (Teresa Kok) menyatakan bahawa Khairuddin pergi ke Turki pada 3 hingga 7 Julai 2020 tetapi tetap hadir ke parlimen pada 13 Julai 2020.

Biarpun telah memohon maaf kepada rakyat dan memulangkan 4 bulan gaji beliau sepanjang beliau menjadi menteri dan didenda sebanyak RM1,000 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana telah melanggar SOP Covid-19. Tindakan ini sebenarnya tidak dapat meredakan kemarahan orang ramai walaupun didenda RM1,000 sekalipun oleh KKM. Rakyat tidak mudah digula-gulakan oleh mainan politik pihak kerajaan. Hal yang sama berlaku kepada mak cik gelang pink kerana ingkar arahan SOP Covid-19 kerana dengan selambanya pergi ke kedai makan dan tidak mematuhi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian ketika diperintahkan kuarantin di rumah. Mak cik ini dikenakan denda RM8,000 dan penjara sehari.

Seolah-olah berlaku pendakwaan terpilih dalam kedua-dua kes ini. Khairuddin seelok-eloknya membersihkan namanya di mahkamah bagi menutup mulut amarah rakyat sekarang. Biarlah mahkamah yang menjatuhkan hukuman ke atas Khairuddin. Tidak kira urusan rasmi atau tidak rasmi apabila pulang dari luar negara kerana tiada undang-undang menyatakan perbezaan kedua-dua kes untuk urusan ke luar negara.

Sememangnya kes salah laku menteri ini menjadi bualan hangat rakyat. Para menteri khususnya mereka seharusnya berhati-hati dalam tindakan mereka ketika ini apatah lagi mereka semua sekarang dalam pemerhatian rakyat daripada pelbagai kaum dan agama. Kerajaan secara mudah menghukum rakyat yang tidak mematuhi SOP Covid-19 sedangkan para menteri seolah-olah tidak dikenakan hukuman atau dikenakan hukuman ringan sahaja. Kerajaan sepatutnya tidak bersikap double-standard dalam isu ini.

No comments:

Post a Comment